Wednesday, August 8, 2012

"Sesungguhnya sebagai muslimah, saya sayangkan awak"


Baju untuk raya emak abah dah belikan. Dan hasilnya, dua helai baju kurung bersaiz 42. Kalau ikutkan si penjual, " Awak tinggi, kurus, kenapa nak ambil yang besar? Yang saiz 38 ni cantik dik". Senyum.
Mak cakap, yang besar sikit lagi elok. Dan bagi saya, yang besar itu lebih selesa, lebih selamat. Tahun lepas, baju-baju raya adalah kebaya-kebaya si merah mak ngah. Tapi tahun ini, kebaya-kebaya itu jadi simpanan. Sudah tidak cantik di mata sendiri. Dan tidak padan si kebaya dan si bidang 60 kan?
Ya, dulu yang ketat-ketat itu jadi pilihan saya. Tapi Alhamdulillah, Allah bukakan pintu hati saya untuk jatuh hati pada yang besar-besar saiznya sekarang.
Perasaan yang berbeza
Kalau dulu, saya rasa cantik (kononnya) dengan berkebaya, tambah lagi dengan ketinggian dan saiz badan yang Allah beri. Ketinggian yang diinginkan perempuan-perempuan Malaysia, ketinggian seorang model walaupun dari aspek lain, saya tidak layak langsung jadi model. Dan saiz badan yang melengkapi pakej tinggi. Tapi lama-kelamaan, saya seakan ianya tidak lagi selesa. Terasa seperti tidak memakai apa-apa walaupun zahirnya ada pakaian yang tersarung. Sungguh! Ini bukan cliché pembalut gula-gula mahupun nangka. Sungguh saya rasa tidak selesa bila mata-mata tertancap pada tubuh saya. Saya sangat benci diusik-usik, disiul-siul seolah-olah terlalu murah diri saya untuk diperlakukan sebegitu!
Saya jatuh hati pada si tudung labuh dan baju besar. Rasa sangat sejuk melihat muslimah-muslimah ini walaupun saya sendiri seorang perempuan. Tak perlu mereka tunjukkan bentuk tubuh mereka, mahupun tepekan-tepekan warna di muka. Malah mereka lebih dihormati! Tiada usikan nakal dan siulan yang merimaskan.
Dan kini, saya sedang cuba mengekalkan saiz-saiz yang lebih besar untuk saya. Perasaan saya? Saya rasa sangat selamat, sejuk, dihormati dan selesa. Tiada lagi perasaan seperti sentiasa dilihat mata manusia. Dan saya amat harapkan saya dilihat Allah SWT. Walaupun kadang-kadang masih lagi ada 'bunyi-bunyian tikus', tapi sudah amat sedikit. Saya kini, wanita yang sangat gembira.
Hormatilah...
Wahai kaum Adam di luar sana,  saya minta anda menghormati kami, wanita. Saya tidak salahkan anda kalau pakaian saya menjual diri sendiri untuk jadi siulan anda. Tapi sekarang, saya yang tidaklah cantik malah berpakaian ala-ala makcik yang tidak mengikut-arus-fesyen-semasa (bagi sesetengah orang) ini pun mahu dijadikan siulan? Anda mungkin akan diberi seorang anak perempuan suatu hari nanti, dan tidakkah anda mahu mereka dihormati? Melainkan anda sendiri yang tidak kisah darah daging sendiri diperlakukan sebegitu.
Maaf ada andai ada kata-kata ini mengguris sahabat-sahabat perempuan saya. Saya tahu, saya sendiri tidaklah sebaik mana. Masih terlalu banyak ruang untuk saya penuhi sebagai seorang muslim. Tapi sungguh, anda lebih cantik tanpa menunjukkan kecantikan yang Allah SWT beri pada anda.
Sayangi diri anda, muslimah tersayang.
Semoga Allah memberikan kekuatan hati agar tetap istiqamah di dalam ketaatan ini. Sungguh, mujahadah untuk mendapat redha Allah SWT itu terlalu sukar, namun nikmatnya hanya yang berusaha sahaja akan dapat merasai betapa indahnya perasaan itu. Wahai sahabat-sahabat muslimah yang disayangi Allah, sayangilah dan hormatilah diri anda. Jangan dibiar ia menjadi tatapan-tatapan lelaki yang liar matanya di luar sana. Siapa lagi yang perlu menghormati dan meletakkan dirinya di dalam kebaikan kalau bukan diri sendiri. Labuhkanlah pakaianmu dan balutlah hati itu dengan pakaian Taqwa,  bukan pakaian yang menjolok mata.
"Sesungguhnya sebagai muslimah, saya sayangkan awak"

No comments:

Post a Comment

tinggalkan kata walau sebaris ayat . moga moga ia bermanfaat untuk semua . terima kasih :)